Thursday 11 July 2013

canggih kawal suis elektrik melalui Internet



Alat kawalan jauh untuk mengawal suis elektrik yang dicipta empat mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan juara Pertandingan Penciptaan Perisian dan Teknologi Imagine Cup Malaysia 2013, di Resort World Langkawi, baru-baru ini.

Kecanggihan produk yang membolehkan pengguna mengawal suis rumah melalui Internet itu membolehkan pasukan ‘Triton’ mengalahkan dua pasukan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara pasukan G’Adore dengan produk ‘DiabeStyle’ dan pasukan 4GM dengan produk ‘Trashpoint’, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Triton yang dibarisi Muhammad Syamil Aiman A Aziz, 22, Siti Salwani Yaacob, 22, Muhamad Faqih Roslan, 21, dan Mohamad Fadhil Jalani, 21 akan mewakili Malaysia ke pertandingan akhir peringkat antarabangsa di Saint Petersburg, Russia, tahun depan.

Ketua kumpulan, Muhamad Syamil Aiman A Aziz berkata, pengguna hanya perlu memasang produk ciptaan mereka di mana-mana suis di rumah dan mengawalnya melalui Internet.

“Produk itu dicipta khusus bagi pengguna yang sering alpa untuk mematikan suis selepas menggunakannya selain mampu menjimatkan elektrik.

“Kami mengambil masa kira-kira setahun untuk membuat kajian terperinci selain membuat perbandingan dengan produk-produk lain di pasaran.

“Usaha kami berbaloi dan misi seterusnya ialah menjulang bendera Malaysia di Russia dalam pertandingan tahun depan,” katanya yang mendapat idea ciptaan daripada konsep teknologi hijau.

Imagine Cup Malaysia adalah pertandingan teknologi membabitkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang diadakan setiap tahun bagi memilih wakil Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pertandingan Imagine Cup adalah pertandingan mencipta perisian yang terkenal dan dianjurkan setiap tahun.

Ia adalah platform untuk melahirkan generasi muda matang dari segi kebolehan mencipta, meneroka idea baru serta mengembangkan hasil inovasi ke peringkat lebih tinggi.

Penganjuran kali ini, 21 pasukan dari seluruh IPT awam dan swasta mengambil bahagian.

Foto

No comments:

Post a Comment

arkid tulisan buruk moshibot